Thursday, September 17, 2009

Kempen BerHari Raya Tanpa H1N1







1. Pertama kali, sukacitanya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam “Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri” dan bagi yang bukan beragama Islam sudah tentu peluang pada cuti umum ini akan digunakan samada untuk melancong bersama keluarga atau pulang ke kampung halaman masing-masing. Sudah menjadi kebiasaanya di Malaysia ini, yang mempunyai masyarakat yang majmuk setiap kali musim perayaan tidak kira Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan perayaan-perayaan yang lain, hampir keseluruhan warga kota ini akan berpusu-pusu meninggalkan ibu kota menuju ke kampung halaman masing-masing. Ini menambahkan kemeriahan sambutan hari perayaan di Malaysia ini.


2. Walau bagaimanapun akhir-akhir ini seluruh dunia dan tidak terkecuali negara kita ini telah dilanda dengan wabak Influenza A (H1N1). Walaupun keadaan penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini masih terkawal dan tidak seperti negara-negara lain, tetapi pihak Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibendung dari terus merebak.


3. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dan diwar-warkan kepada seluruh rakyat bagi mencegah penularan wabak ini. Suka saya menegaskan di sini, kepada orang ramai yang mempunyai simptom influenza-like illness (ILI) yang ringan dinasihatkan untuk duduk di rumah (Self-Quarantine) Bagi mereka yang mempunyai simptom dan termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah segera mendapatkan rawatan doktor di klinik-klinik Kerajaan yang terdekat. Untuk makluman kepada semua rawatan antiviral yang diberikan di klinik-klinik Kerajaan adalah percuma.


4. Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan meningkatkan tahap kebersihan diri, mencuci tangan secara kerap dengan sabun penyahkuman (sanitizer) terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman atau apabila anda menyentuh bahan mentah, permukaan tercemar, muka. hidung atau telinga dan sentiasa mengamalkan adab batuk. Ini kerana wabak ini mudah merebak melalui batuk dan bersin, oleh itu pemakaian topeng mulut sentiasa digalakkan terutamanya ketika berada di kawasan yang sesak dan tertutup.


5. Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil kesempatan ini untuk mempergiatkan lagi usaha-usaha kempen H1N1 untuk membentung wabak ini daripada terus menular ke kawasan-kawasan lain. Oleh yang demikian, 4 fasa yang perlu diambil kira akan diperkenalkan pada hari iaitu:


Fasa 1 : Sebelum Balik Ke Kampung


1. Orang ramai hendaklah menentukan jenis kenderaan yang akan dipilih samada kenderaan awam atau kenderaan sendiri.


2. Bagi golongan yang berisiko tinggi seperti seperti kanak-kanak berumur kurang daripada 5 tahun, wanita hamil, pesakit asthma, pesakit diabetes, pesakit imuniti rendah dan sebagainya dinasihatkan supaya memilih kenderaan yang kurang sesak untuk pulang ke kampung seperti menaiki kenderaan sendiri atau keluarga, kurangkan tempoh berada di dalam kenderaan awam, jika menggunakan kenderaan awam, perlu memakai topeng mulut dan hidung untuk mengelakkan jangkitan influenza A(H1N1)

3. Semasa berada di terminal pengangkutan awam yang sesak, mereka yang mempunyai simptom dan golongan berisiko tinggi mesti memakai topeng mulut dan hidung.

Fasa 2: Semasa dalam perjalanan


1. Syarikat pengangkutan bertanggung jawab untuk:
i. Menyediakan hand sanitizer kepada penumpang kenderaan awam.
ii. Memberikan topeng mulut dan hidung kepada penumpang yang mempunyai gejala ILI dan
iii. Seboleh-bolehnya asingkan atau pindahkan orang yang mempunyai simptom ILI ke tempat duduk yang agak jauh daripada orang lain.

2. Orang awam juga digalakkan agar:
i. Sentiasa membawa bersama topeng mulut dan hidung serta hand sanitizer bagi tujuan penggunaan apabila keadaan memerlukan dan
ii. Sekiranya seseorang mempunyai simptom ILI atau tergolong di dalam kumpulan berisiko tinggi, mereka hendaklah memakai topeng mulut dan hidung.

Fasa 3: Semasa berada di kampung


1. Bagi individu yang bersimptom influenza-like illness
i. Mereka perlu asingkan diri daripada ahli keluarga
ii. Sekiranya perlu bersama-sama ahli keluarga, mereka perlulah memakai topeng mulut dan hidung
iii. Elakkan daripada berada terlalu dekat dengan ahli keluarga termasuklah memeluk ahli keluarga yang terdiri daripada golongan berisiko seperti kanak-kanak berumur kurang daripada 5 tahun, wanita hamil, pesakit asthma, pesakit diabetes, obes, pesakit imuniti rendah dan sebagainya
iv. Seboleh-bolehnya tidak menghadiri tempat yang sesak atau keramaian umpamanya mengunjungi rumah terbuka, majlis kenduri dan juga termasuklah bersembahyang sunat Hari Raya kerana dikhuatiri mereka akan menularkan jangkitan ini kepada orang lain. Namun jika mereka ingin juga mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya, mereka hendaklah memakai topeng muka dan hidung serta membawa bersama sejadah atau lapik sembahyang supaya ia tidak dikongsi dengan orang lain.
v. Meneruskan amalan kebersihan diri, adab batuk dan mencuci tangan secara kerap.

Fasa 4: Setelah kembali dari kampung


1. Terus mengamalkan kebersihan diri, amalan mencuci
tangan secara kerap dan adab batuk.


2. Sekiranya tidak sihat, mereka dinasihatkan untuk meneruskan cuti dan tidak terus pergi ke sekolah atau ke tempat kerja.

3. Sekiranya simptom berlanjutan, sila dapatkan rawatan doktor.

4. Sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini mengenai wabak influenza A(H1N1) dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang disyorkan oleh KKM.


6. Sesungguhnya pihak Kementerian Kesihatan tidak sama sekali mahu menghalang atau menyekat kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini tetapi apa yang kami mahukan agar kemeriahan dan keceriaan ini akan berterusan di samping insan yang tersayang demi keselamatan serta kesejahteraan mereka. Kami juga tidak mahu kemeriahan ini terganggu dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan telah mengariskan 4 fasa yang perlu diambil kira semasa menyambut mana-mana perayaan sekalipun yang bakal dan akan tiba. Dan saya yakin sekiranya garis panduan ini dilaksanakan sepenuhnya kita akan dapat mengurangkan bahkan mengekang penularan wabak ini. Seterusnya harapan kempen ini “Hari Raya Tanpa H1N1” akan berjaya dilaksanakan dengan sokongan daripada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Pencegahan ini bukan semata-mata tanggungjawab hakiki kementerian Kesihatan malah ianya juga menjadi tanggungjawab bersama dari pihak NGO, Syarikat-syarikat Swasta dan masyarakat amnya.


7. Sebagai permulaan kepada kempen ini, pihak Kementerian Kesihatan telahpun bekerjasama dengan pihak pengurusan Terminal Bas Jalan Duta iaitu Konsortium Transnasional Berhad untuk bersama-sama menjayakan Kempen ini dimana memberikan topeng muka, sabun penyahkuman dan risalah berkenaan H1N1 secara percuma kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan awam ini. Pihak Kementerian juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan terminal bas, pihak NGO dan syarikat-syarikat GLC serta swasta kerana sudi menggembeling usaha dan tenaga untuk bersama-sama memastikan penularan wabak ini dapat di kekang. Harapan saya semoga usaha ini akan dapat diteruskan ke terminal-terminal pengangkutan awam yang lain secara menyeluruh diseluruh negara amnya. Kita semua sektor awam dan swasta harus bekerjasama untuk memastikan wabak ini tidak terus merebak ini kerana semua ini adalah tanggungjawab kita semua.


8. Saya juga berasa sungguh berbesar hati kerana kempen ini juga turut mendapat sokongan daripada sektor swasta yang lain yang sudi menghulurkan bantuan dan sokongan dalam menangani masalah yang kita hadapi ini. Tanpa sokongan dan bantuan daripada semua saya pasti usaha ini tidak akan berjaya, terima kasih saya ucapkan kepada semua. Kepada semua wakil-wakil media massa dan elektronik, harapan saya ialah agar usaha dan kempen yang Kementerian telah laksanakan dan yang akan dilaksanakan akan terus di war-warkan kepada semua rakyat di media masing-masing. Usaha dan sokongan daripada media yang telah kami terima sehingga hari ini sangat-sangat membantu, sekalung terima kasih saya ucapkan kepada semua media yang terlibat.



9. Akhir kata daripada saya, “Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri” saya ucapkan kepada semua yang beragama Islam dan harapan saya semoga perjalanan tuan-tuan dan puan-puan ke kampung halaman diiringi dengan keceriaan dan harapan saya agar tuan-tuan dan puan-puan mengamalkan 4 fasa yang telah digariskan semoga hari raya anda “Hari Raya Tanpa H1N1”. “ Pandu Cernat Jiwa Selamat & Ingatlah Orang Yang Tersayang”


Wassalam,

Jangan makan banyak ketupa & lomang nanti sakit perut...... apa lagi masuk hospital,... wachaaaa.....

No comments:

Post a Comment